Monday 29 October 2012

Definisi PBS

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)


Apa itu PBS?

Pentaksiran Berasaskan Sekolah ialah pentaksiran yang bersifat holistik, iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM). Pentaksiran Berasaskan Sekolah terdiri daripada komponen berikut, iaitu Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Pusat, Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum dan Pentaksiran Psikometrik.
Pentaksiran Berasaskan Sekolah dilaksanakan ke atas semua sekolah rendah, iaitu
sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, dan sekolah swasta.
Pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah hendaklah berdasarkan Dokumen
Standard Prestasi dan manual Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah yang
disediakan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia.
Dokumen Standard Prestasi ialah panduan untuk menaksir pencapaian murid
mengikut tahap-tahap pencapaian seperti yang dihasratkan dalam dokumen kurikulum.
Selain itu, Standard Prestasi juga boleh dijadikan kayu ukur standard pendidikan negara.
Dalam Standard Prestasi, pernyataan standard dikategorikan mengikut band, iaitu
Band 1, Band 2, Band 3, Band 4, Band 5, dan Band 6. Band ini disusun mengikut hierarki dan dijelaskan dengan deskriptor yang menyatakan tingkah laku terperinci yang boleh diperhati dan diukur dalam menentukan prestasi murid-murid.
Murid akan dinilai mengikut band tertentu yang menentukan tahap kemampuan mereka.


Band 1-  Tahu
Band 2-  Tahu dan faham
Band 3-  Tahu, faham dan boleh buat
Band 4-  Tahu, faham dan boleh buat dengan beradab
Band 5-  Tahu, faham dan boleh buat dengan beradab terpuji
Band 6-  Tahu, faham dan boleh buat dengan beradab mithali

Friday 26 October 2012

Seronok Mengajar

Seronok Mengajar , Seronok Belajar



Seronok mengajar, seronok belajar.
Objektif Blog : 
  1. Ingin berkongsi kaedah Sistem Pengurusan Pentaksiran Bearasaskan Sekolah yang berkesan kepada guru-guru pewaris bangsa dan negara.
  2. Mengumpulkan bahan-bahan Pengajaran dan Pembelajaran  (P&P) PBS dalam satu tempat untuk dimuat turun.
  3. Memberi motivasi dan nilai tambah kepada guru-guru junior untuk berjuang dalam dunia pendidikan. 
  4. Membuka ruangan perbincangan membina dalam kalangan guru dan ibu bapa.
  5. Membina jaringan silaturrahim sesama rakan guru dan ibu bapa.

Thursday 25 October 2012

Rasional PBS

Rasional pelaksanaan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS)

pelajar

PELAKSANAAN Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) mulai murid tahun satu 2011 diyakini dapat melahirkan modal insan yang holistik serta seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek seperti yang diaspirasikan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Ketika ini, sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan dan terlalu mengiktiraf pencapaian akademik menyebabkan penglibatan pelajar kurang dalam kokurikulum serta memberi tekanan kepada guru, ibu bapa dan pelajar berkenaan.
Tekanan ke atas guru-guru untuk menghabiskan sukatan pelajaran menyebabkan fokus kepada produk akhir dan bukannya proses pembelajaran.

Tambahan pula, di sesetengah negara maju, sistem pentaksirannya telah banyak berubah dan ada yang langsung tidak mempunyai peperiksaan awam sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun menengah.
Justeru mulai 2016, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan dibuat berdasarkan nisbah 60:40 iaitu 60 peratus Pentaksiran Berasaskan Pusat (PBP) dan 40 peratus PBS. Manakala peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pula bermula pada 2014.

PBP di peringkat UPSR sama seperti yang diamalkan sekarang akan dilaksanakan oleh Lembaga Peperiksaan (LP) yang melibatkan mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
Dalam PBS pula terdapat empat komponen iaitu Pentaksiran Pusat, Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Psikometrik dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

Pentaksiran Pusat dan Pentaksiran Sekolah bersifat akademik manakala Pentaksiran Psikometrik dan PASJK pula bersifat bukan akademik.
Bagi Pentaksiran Pusat, ia dilaksanakan oleh sekolah menggunakan instrumen dan garis panduan yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan. Pentaksiran ini melibatkan kerja khusus dan projek lisan.
Pentaksiran Sekolah pula melibatkan mata pelajaran teras dan elektif. Ia dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak sekolah.

Manakala Pentaksiran Psikometrik pula dilaksanakan di peringkat sekolah dan/atau pusat untuk mengukur kebolehan semula jadi, kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti murid.

PAJSK adalah pentaksiran yang dijalankan untuk mendapatkan maklumat tentang kapasiti dan potensi jasmani, sukan dan kokurikulum yang dikawal secara harmoni oleh kapasiti dan proses mental seseorang individu murid supaya pertumbuhannya dapat dipantau dan diperbaiki.

- UTUSAN, 14 Disember 2011