Saturday 28 December 2013

PMR ditambah baik di peringkat menengah rendah, bukan dimansuh




PMR ditambah baik di peringkat menengah rendah, bukan dimansuh
 



KUALA LUMPUR 5 Dis. - Kementerian Pendidikan tidak bercadang memansuhkan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), sebaliknya akan melakukan penambahbaikan tertentu.
Hal demikian dinyatakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Mary Yap Kain Ching yang menegaskan penambahbaikan tersebut membawa maksud penilaian di peringkat menengah rendah masih dilaksanakan tetapi bukan dalam bentuk peperiksaan pusat.
Jelasnya, keputusan itu dibuat selepas Kabinet bersetuju supaya penambahbaikan sistem pentaksiran kebangsaan bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) serta PMR dilaksanakan dengan memberi penekanan kepada pentaksiran untuk pembelajaran dan pentaksiran tentang pembelajaran.
''Penilaian akan dilaksanakan melalui pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) yang merangkumi empat komponen iaitu pentaksiran sekolah, pentaksiran pusat, pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum serta pentaksiran Psikometrik.
''Perkara yang ditaksir adalah pengetahuan, kefahaman, kemahiran dan nilai yang menjurus kepada pentaksiran profil, pencapaian, perkembangan dan penyertaan murid," katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan asal Datuk Sapawi Ahmad Wasali (BN-Sipitang) mengenai persediaan kementerian jika terdapat pelajar yang gagal dalam peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) menyebabkan mereka tidak dapat memiliki sebarang sijil kelulusan akademik kerana tahun ini merupakan peperiksaan terakhir bagi PMR.
Tambah Mary Yap, PBS memberi autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif dan sumatif yang berasaskan sekolah dan memberi pengiktirafan terhadap sumbangan guru dalam pencapaian murid.