Rasional pelaksanaan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS)
PELAKSANAAN Penilaian Berasaskan Sekolah
(PBS) mulai murid tahun satu 2011 diyakini dapat melahirkan modal insan
yang holistik serta seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan
intelek seperti yang diaspirasikan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Ketika ini, sistem pendidikan yang
berorientasikan peperiksaan dan terlalu mengiktiraf pencapaian akademik
menyebabkan penglibatan pelajar kurang dalam kokurikulum serta memberi
tekanan kepada guru, ibu bapa dan pelajar berkenaan.
Tekanan ke atas guru-guru untuk
menghabiskan sukatan pelajaran menyebabkan fokus kepada produk akhir dan
bukannya proses pembelajaran.
Tambahan pula, di sesetengah negara
maju, sistem pentaksirannya telah banyak berubah dan ada yang langsung
tidak mempunyai peperiksaan awam sama ada di peringkat sekolah rendah
mahupun menengah.
Justeru mulai 2016, Ujian Pencapaian
Sekolah Rendah (UPSR) akan dibuat berdasarkan nisbah 60:40 iaitu 60
peratus Pentaksiran Berasaskan Pusat (PBP) dan 40 peratus PBS. Manakala
peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pula bermula pada 2014.
PBP di peringkat UPSR sama seperti yang
diamalkan sekarang akan dilaksanakan oleh Lembaga Peperiksaan (LP) yang
melibatkan mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik
dan Sains.
Dalam PBS pula terdapat empat komponen
iaitu Pentaksiran Pusat, Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Psikometrik
dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
Pentaksiran Pusat dan Pentaksiran
Sekolah bersifat akademik manakala Pentaksiran Psikometrik dan PASJK
pula bersifat bukan akademik.
Bagi Pentaksiran Pusat, ia dilaksanakan
oleh sekolah menggunakan instrumen dan garis panduan yang disediakan
oleh Lembaga Peperiksaan. Pentaksiran ini melibatkan kerja khusus dan
projek lisan.
Pentaksiran Sekolah pula melibatkan mata pelajaran teras dan elektif. Ia dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak sekolah.
Manakala Pentaksiran Psikometrik pula
dilaksanakan di peringkat sekolah dan/atau pusat untuk mengukur
kebolehan semula jadi, kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan
masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti murid.
PAJSK adalah pentaksiran yang dijalankan
untuk mendapatkan maklumat tentang kapasiti dan potensi jasmani, sukan
dan kokurikulum yang dikawal secara harmoni oleh kapasiti dan proses
mental seseorang individu murid supaya pertumbuhannya dapat dipantau dan
diperbaiki.
- UTUSAN, 14 Disember 2011
No comments:
Post a Comment
For any further information.
Please leave your comments..